Sunday, August 11, 2013

Kisah Anak Bongsu

Di sudut masjid Jami'ul Ihsan, Abdullah duduk menanti azan Asar, seluar bertukar kain pelikat senteng, kopiah sulam di kepala, mukanya tampak basah dengan air wudhu, titisan-titisan air mengalir dari pipinya jatuh bertakung di jambangnya. Fikirannya jauh melayang, penat melayan anak-anak saudaranya di rumah, hendak melarikan diri, masjid jadi tempat perlindungan. Almaklumlah, raya ni semua sepupu sepapat datang rumah, tradisi. Sambil berjalan hendak memasuki ruang solat, Abdullah ternampak seorang lelaki bersama gadis kecil, barangkali anak lelaki itu. "Agaknya, sebaya budak-budak kat rumah tu kot, tiga tahun setengah a.k.a zaman buas kanak-kanak," fikir Abdullah. Si kecil memakai tudung yang agaknya lebih sesuai untuk budak 7 tahun lebih tua. Tudungnya melitupi sampai ke pahanya. Kelakar pun ada, tapi kecomelannya lebih menyerlah.

Abdullah terhenti, mengamati senario di hadapannya. Lelaki itu melutut sebelah menghadap anaknya yang nampak agak sedih dengan sesuatu.

"Namain buaian..." perlahan suara si kecil.
"Nanti la..baba nak solat ni. Kita solat sama-sama dulu, nanti lepas solat, kita main eh?" balas bapanya lembut.
 Si kecil hanya merengek, mati akal tak tahu nak berunding dengan bapanya.
Tak ada sedikit pun keresahan atau rimas di muka bapanya. Dia hanya tersenyum, tenang melayan kerenah anaknya. Si kecil pula menghentak-hentak kaki manja, kerana bapanya tidak mahu temannya main. Matanya berkaca, tapi tak berbunyi rusuhan "tak macam budak-budak kecik kat rumah tu, silap hari, bukan takat mata diorang je berkaca, semua benda kaca pun pecah dibuatnya," Abdullah melayan fikirannya, tersengih seorang diri.

Si bapa bingkas bangun, memimpin tangan anak kecilnya yang pasrah, ke bahu masjid, bahagian solat yang terbuka berbanding ruang solat utama. Jauh ke tepi, risau anaknya kacau jemaah lain solat.

"Allahuakbar Allahuakbar!" azan Asar berkumandang, aku terkejut. "mak aih lama pulak aku khoya tadi, harap pak cik tadi tak perasan aku dok tengok dia dari tadi.." sambil berjalan ke saf hadapan untuk solat sunat rawatib. Selesai solat, terus Abdullah bangun, betulkan semua, kain pelikatnya yang senget bertambah senget, kopiahnya yang terangkat dibetulkan semula. Jemaah lain pun terus berdiri dalam saf, sedia untuk solat Asar, imam pun mencelah jauh dari belakang memotong terus sampai depan. Tersengih~

Selesai solat Asar, baru tenang sikit, lenguh-lenguh badan dari main kejar-kejar dengan budak-budak tadi pun dah hilang. Baru hendak bangun, ternampak pasangan anak-beranak tadi. Si bapa masih duduk berzikir, si kecil duduk di sebelahnya meninjau keadaan sekeliling, bertentang mata dengan pakcik-pakcik tua yang berlalu. Langsung tak mengganggu bapanya, cuma syok sendiri je. Abdullah bangun berjalan perlahan hendak pulang, singgah tandas dulu, niatnya melengah-lengahkan dirinya dari pulang ke rumah. Habis melabur, Abdullah terus keluar dari masjid, masuk kereta Viosnya.
Dihelanya nafas dalam-dalam, persiapan terakhir sebelum menyambung peperangan yang tertunggak. Sekali lagi ternampak lelaki tadi bersama anak kecilnya, kali ni di taman permainan kecil dalam pekarangan masjid. Lelaki itu meneman anaknya bermain setiap satu permainan di situ. Gelongsor, check. Tangga, check. Buaian, on the way. Nampak senyuman yang sama di wajah bapanya sewaktu dia melayan si kecil dalam masjid tadi. Anaknya ceria, gelak ketawa sambil bermain. Akhirnya tercapai hajatnya hendak bermain buaian, lagi-lagi diteman heronya.

Abdullah sering menyangka bapa-bapa seperti itu, yang macam ustaz, akan mengongkong hidup anaknya. Dia menyangka anak kepada bapa seperti itu tidak bebas. Rupanya mereka bahagia, barangkali lebih bahagia dari kehidupan Abdullah sewaktu dia kecil. Penuh kasih sayang. Abdullah hanya tersenyum, seribu satu perkara melingkari fikirannya. Dia terus menukar ke gear 'D' dan pandu keretanya pulang. "Apa aku mampu jadi bapa seperti itu? atau lebih baik dari tu?" Sekembalinya di rumah, keluarga Abdullah melihat satu sudut Abdullah yang jauh berbeza. Paling ketara, sifatnya bersama anak-anak saudaranya. Lebih peramah, lebih kebudak-budakan. "Aih tadi kata tak tahan dah dengan budak-budak tu, alih-alih kau balik, kau pulak macam budak. Kau ada singgah mana-mana beli cempedak goreng basi ke apa tadi?" tegur kakaknya, ibu kepada budak-budak itu sambil memerli Abdullah. Abdullah hanya tersenyum, "Ye la, satu hari nanti aku pulak jadi ayah, ni kira training la. Fail ni, fail la aku nanti bila sampai turn".
"Ye lah kau. Jangan buat anak aku menangis sudah."


Satu hari nanti, insyaAllah..

No comments:

Post a Comment